Cintamu Cintaku Satu Bab 3



Sementara menunggu n3 terbaru Hatiku Dibawa Lari 3, mailah baca bab seterusnya di dalam novel ke dua kak sofi ni. 

SUDAH lebih tiga tahun pemergian Nurul Liyana kini. Hari ini, umur Irfan genap tiga tahun dua bulan. Irfan, nama yang comel untuk seorang budak lelaki yang comel. Melihatnya, mengingatkan mereka kepada Roslan kerana anak kecil itu mewarisi raut wajah lelaki yang pernah hadir untuk seketika dalam hidup mereka dahulu.

Nurul Hana sedang berdiri di tepi tingkap yang terbuka luas. Dari atas rumah kampung yang usang itu, dia tersenyum memandang ke halaman. Di situ, anak saudaranya sedang leka bermain bersama-sama dengan Nurul Aida, adiknya yang bongsu. Beza umur kedua-dua mereka tidaklah banyak. Cuma lima tahun sahaja. Sekali imbas, mereka kelihatan seperti adik-beradik. Malah, memang ramai yang menyangka bahawa Irfan adalah adik mereka. Tambahan pula Irfan memanggil Mariam emak dan Abdullah ayah. 

“Irfan, sayang, ini tok wan, bukan ayah. Itu tok, bukan mak!” Nurul Hana cuba membetulkan panggilan Irfan. 

Irfan menggelengkan kepala. “Ayah!” tunjuknya kepada si datuk. Kemudian sambil berlari mendapatkan neneknya, dia menjerit, “Ini mak Ifan!” 

“Ini siapa?” Nurul Hana bertanya, menuding ibu jari ke dadanya. 

Senyuman manis terukir pada bibir si kecil. Dia datang ke pangkuan Nurul Hana. Memeluk kejap sebelum membalas, “Ini mama!”

Penuh kasih sayang, Nurul Hana membalas pelukan Irfan. “Ya, sayang. Ini mama Irfan!”

Sejak itu mereka tidak lagi mempertikaikan tindakan Irfan. Mereka gembira dengan telatahnya yang periang. Gelagatnya mirip benar dengan sikap Nurul Liyana semasa kecil. Mudah ketawa. Sikap Abang Roslan? Entahlah. Lelaki itu tidak sempat dikenali rapat. 

“Angah, mari tengok Irfan ni!”

Tiba-tiba telinga Nurul Hana menangkap suara cemas Nurul Aida. Bunyinya seakan-akan ingin menangis. Suara itu mengembalikan Nurul Hana ke dunia realiti, menjenguk semula ke luar rumah. Dia dapat melihat sekujur tubuh Irfan yang sedang terbongkang di atas pasir, di halaman rumah. Rasa cemas menyebabkan Nurul Hana berlari turun. Segera tubuh itu digendong dan dibawa naik ke atas rumah.

Kini, Irfan berada dalam pangkuannya.

“Irfan, kenapalah dengan anak mama ni, sayang? Kenapa ni?” soal Nurul Hana penuh kerisauan. Dia menyapu sedikit air ke muka anak saudaranya itu. Wajah kecil comel itu terlalu pucat. Sempat juga Nurul Hana mengira-ngira dalam kepala. 

Ya, diambil kira kejadian pada hari ini, sudah enam kali Irfan pengsan. Ini tidak boleh jadi ni! fikirnya. Si comel ini perlu dibawa ke hospital! 

Sepanjang hari Ahad itu, Nurul Hana gelisah menunggu ayah dan ibunya pulang daripada sebuah majlis kenduri kahwin. Dia ingin memberitahu pendapatnya. Tentu mereka juga bersetuju dengannya bahawa keadaan Irfan tidak boleh dibiarkan. Tentu mereka juga bersetuju dengannya bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan Irfan. Kalau tidak, masakan anaknya lemah begitu. Hendak bernafas pun susah! 

Oh Tuhan, janganlah Irfan mempunyai apa-apa penyakit yang serius. Janganlah dia mempunyai apa-apa penyakit pun! Irfan masih terlalu kecil untuk menderita. Irfan masih kecil lagi. 

“CUCU pak cik mengidap penyakit jantung berlubang.” 

Nurul Hana terhenyak di kerusi. Abdullah pula mengeluh berat. Masing-masing terpaksa akur kini. Doktor sudah mengesahkan bahawa Irfan sememangnya sakit. Bukan sebarang penyakit pula tu, tetapi penyakit jantung berlubang! Bukankah penyakit jantung merupakan penyakit pembunuh nombor satu di Malaysia?

Tuhan, izinkan aku mengeluh sebentar. Izinkan aku bertanya, mengapa dia? Maafkan aku mempersoalkan-Mu. Namun Irfan itu masih terlalu kecil! Kasihan dia! Kasihan dia! Nurul Hana merintih lirih dalam hati untuk seketika. Seketika sahaja, kerana jika sudah ini ketentuan Ilahi, siapakah dia untuk melawan takdir?
Ampuni hamba-Mu yang lemah ini, ya Allah! Bukan aku sengaja mempertikai kehendak-Mu! Ampuni aku, Tuhan! Ampunilah...  

“Apa yang perlu kami buat, doktor?” Abdullah bertanya. Wajah doktor itu dipandang dengan pandangan yang layu. Dia lemah dengan dugaan ini. 

Wajah arwah Nurul Liyana dan Roslan bermain di mata, menzahirkan rasa kasihan yang bukan sedikit kepada cucunya. Umur Irfan masih setahun jagung, musibah ini pula menimpanya. Kasihan sungguh! Sudahlah anak yatim piatu, kini ini pula yang terjadi. Kalaulah Mariam ada di sini, mahu meraung isterinya itu.

“Saya nak rujuk kes ini ke Institut Jantung Negara, IJN, di Kuala Lumpur. Saya akan beri tarikh rujukannya. Saya rasa dalam tempoh seminggu lagi, Irfan boleh dibawa ke sana. Kita akan hantar dengan ambulans! Pak cik setuju?” Dr. Halim melahirkan pendapatnya sambil melihat wajah ayah dan anak silih berganti. Wajah ayah nampak terperanjat namun anak gadisnya yang jelita itu masih tenang dalam kebisuan.

“Nanti dekat sana nak dibuat apa? Belah?” soal Abdullah lagi. Dia masih bingung. 

Dr. Halim menggelengkan kepala. “Terserahlah kepada doktor pakar di sana, pak cik. Pak cik, di IJN kami ada ramai doktor pakar. Dengan mudah sahaja mereka boleh menentukan tahap kesihatan pesakit. Pak cik tak perlu cemas. Tapi yang penting, pak cik mesti pergi, bawa cucu pak cik mendapatkan rawatan di IJN tu!” ujarnya.

“Ayah, setuju sahajalah dengan cakap doktor tu. Jangan fikirkan hal yang lain. Sekarang ini, ayah kena beri persetujuan supaya kita boleh bawa Irfan ke KL dan mendapat rawatan secepat mungkin.”

Ketegasan Nurul Hana meraih rasa hormat dalam hati doktor muda itu. Dia menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata-kata gadis itu.

Abdullah merenung wajah anak keduanya. Wajah itu penuh dengan harapan kepadanya. Sesungguhnya dia tahu betapa pentingnya Irfan dalam hidup Nurul Hana. Malah Irfan sememangnya amat penting dalam hidup mereka kini. Irfan, amat mereka sayangi. Irfan, penyambung kasih mereka kepada orang yang sudah tiada! Kerana itu demi menyelamatkan nyawa anak kecil itu, mereka terpaksa berkorban.

Dalam payah, Abdullah mengangguk.

“ANA, macam mana kalau belanja rawatannya di sana nanti tu mahal? Kita nak bayar dengan apa?” 

Itulah soalan yang sedang berlegar-legar di minda Abdullah sejak berhari-hari. Sejak keluar dari bilik Dr. Halim, hanya soal wang yang difikirkan. Setahunya, kalau Irfan terpaksa dibedah, tentu sahaja kos pembedahan itu terpaksa mereka tanggung. Kos itu tentu mahal! Tentu beribu-ribu! Dan, yang menjadi masalahnya, dia tidak mempunyai wang mahupun harta sebanyak itu!

“Ayah, itu, kita fikirkan kemudian,” jawab Nurul Hana lemah. 

“Ana, kita tetap kena fikir tentang belanja bedah tu! Ayah tak ada duit! Ayah tak ada harta! Macam mana nak belah kalau kita tak ada semua itu?” dengus Abdullah. 

Nurul Hana merenung wajah ayah dan ibunya yang lesu. Sejak berita Irfan akan dibawa ke Kuala Lumpur, ibunya sering berendam air mata. Seperti Abdullah, tentu sahaja Mariam susah hati memikirkan bagaimana mereka harus mendapatkan wang untuk belanja pembedahan Irfan nanti. 

“Ayah, emak, kita belum pun bawa Irfan tu ke KL lagi. Lepas tu pulak, kalau ayah masih ingat, Dr. Halim ada beritahu bahawa di IJN nanti doktor pakar akan membuat pemeriksaan lanjutan pada Irfan. Banyak lagi ujian yang perlu mereka lakukan. Jadi, janganlah fikir yang bukan-bukan! Insya Allah, tak ada apa-apa yang akan terjadi pada Irfan. Janganlah mak dan ayah susah hati sangat!” Nurul Hana cuba berkata setegas mungkin. Dia tidak mahu wang menyekat mereka daripada melakukan yang terbaik untuk Irfan!

Sebenarnya, Nurul Hana sendiri tidak pasti apa yang dikatakannya tadi benar ataupun tidak. Bagaimanapun, disebabkan wajah ibu bapanya yang keruh, dia terpaksa menenangkan mereka. Dia tidak mahu mereka terlampau memikirkan perkara itu. Walaupun kemungkinan untuk Irfan dibedah memang ada, Nurul Hana yakin mesti ada cara untuk mendapatkan wang tersebut. 

Sememangnya pada saat ini, Nurul Hana amat benci menjadi seorang yang miskin. Kini, dia menyesal kerana tidak belajar bersungguh-sungguh semasa di tingkatan lima dahulu. Dia menyesal kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Jika dia seorang graduan seperti arwah kakaknya, pasti kini dia punya wang untuk menyelamatkan Irfan.

“Betulkah mak tak mahu ikut kami?” soal Nurul Hana kepada Mariam semasa mereka sedang mengemaskan beg pakaian. 

Esok, pada pukul 8.00 pagi, ayahnya, dia dan Irfan akan dibawa menaiki ambulans ke Kuala Lumpur kerana temu janji untuk bertemu doktor pakar di IJN telah dibuat. 

Nurul Hana terpaksa mengambil cuti lagi. Mujurlah majikannya, Datuk Azman, seorang yang bertimbang rasa. Nurul Hana diberikan cuti selama seminggu. 

Lama Mariam merenung wajah anaknya. Dia mengeluh. Kalau diikutkan hati, tentu sahaja dia ingin pergi bersama-sama ke Kuala Lumpur. Tentu dia ingin menemani Irfan. Tapi nanti, di manakah mereka hendak tinggal? Mereka bukan ada saudara-mara di sana. 

“Mak risaulah, Ana. Nanti, hang dengan ayah nak duduk di mana?” 

“Alah, toksah risaulah, mak! IJN tu cukup luas untuk kita. Takkan nak tidur di kaki lima pun tak boleh? Lagipula, IJN tu merupakan pusat rawatan jantung untuk seluruh rakyat Malaysia. Tentu ramai orang dari seluruh pelosok negara yang datang. Tak sunyi, itu yang pasti!” balas Nurul Hana. 

Mariam menghulurkan wang RM200 kepada anaknya. “Lagipun, kalau mak pergi sekali, siapa pula yang hendak menjaga Nadia dengan Aida?” soalnya.

Nurul Hana menepuk dahi. Ya tak ya juga. Nurul Nadia bekerja dan Nurul Aida bersekolah. Tidak perlulah mereka bercuti semata-mata untuk ke Kuala Lumpur. Nanti, jika keadaan memerlukan, itu lainlah!

Sepasang mata Mariam terpegun memerhati Nurul Hana yang ketika itu mengeluarkan sebuah fail dan memasukkan sesuatu ke dalamnya dengan cermat. 

“Ana, hang nak buat apa dengan gambar kahwin, surat nikah dan sijil mati kak long tu?” soalnya kehairanan.

Soalan ibunya dijawab dengan tenang oleh Nurul Hana. “Mak, Ana dah habis fikir dah. Kalau ditakdirkan Irfan akan dibedah dan kosnya tinggi, Ana akan pergi ke pejabat datuknya. Ana akan bersemuka dengan Encik Ahmad Rizal! Ana akan minta tolong kepadanya. Walau terpaksa memujuk rayu, Ana sanggup lakukan demi Irfan! Yang penting, kalau terpaksa dibedah, Ana ada duit untuk pembedahannya itu!”

Mariam merenung tajam wajah anak gadisnya. Dia tidak menyangka bahawa dalam diam, rupa-rupanya Nurul Hana sudah merancang sesuatu. Cekap sungguh pemikiran anaknya yang seorang ini. 

“Tapi, mahukah keluarga arwah Roslan membantu kita? Sedangkan semasa arwah Liyana masih hidup pun mereka tidak sanggup menerima dia, inikan pula untuk menolong keluarga Liyana selepas dia mati?” tanya Mariam. Dan, sesuatu yang lain sedang bergolak hebat dalam hatinya. 

“Lagipun, Ana, hang dah fikir masak-masakkah? Hang tentu tahu bahawa kalau hang pergi minta tolong daripada mereka, hang akan membocorkan rahsia tentang Irfan. Mereka akan tahu yang Roslan ada anak. Macam mana kalau nanti mereka menuntut hak penjagaan Irfan?” soal Mariam bersungguh-sungguh. 

“Mak, kalau Ana ada pilihan yang lain, tentu Ana tak akan merendahkan diri dan pergi kepada mereka. Hati Ana ni masih sakit mengenang perbuatan mereka pada kak long! Tapi, Ana hanya fikirkan Irfan. Demi anak kesayangan Ana tu, demi masa depan dia, Ana terpaksa mungkir janji Ana pada kak long, mak! Lagipun, sekarang bukan masa untuk berfikir tentang kemungkinan-kemungkinan. Yang penting, kalau Irfan perlu dibedah, kita ada duit untuk itu,” jawab Nurul Hana dengan tegas. 
Mariam hanya mampu mengangguk. 

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »