Per: Jawatan Isteri - Bab 8

 

BOTOL-BOTOL pelbagai rupa dan bentuk yang berderet di atas meja diubah-ubah kedudukannya. Macam dah tak ada kerja lain yang hendak dibuat. Kejap disusun meninggi, kemudian disusun tinggi rendah, namun tak satu pun susunan yang disukai. Sudahnya, dibiarkan sahaja botol-botol itu.
“Kenapa tak minum?” Remy tanya. Laju tangan mencapai satu daripada botol-botol itu dan menuang air yang ada ke dalam gelas yang dihulur oleh pelayan. Air itu kemudian diteguknya. Rakus. 
“Kau pun tahu yang aku dah tak boleh nak masukkan air tu dalam tekak aku ni, kan?” Fahad membentak. 
Sejak Adelia mengutuknya dulu, dia tak boleh nak telan air kencing syaitan itu kecuali ketika dia terlalu ketagih. Waktu itu dia terpaksa juga menelan, namun dia akan muntah dengan banyak selepas minum.
“Kau ni dah macam-macam sekarang.” Remy mencemik.
“Kalau Han tak lalu tak apa. Bagi aje pada aku.” Muncul Helmi antara mereka. Helmi memang terkenal sebagai seorang yang suka ambil kesempatan dalam kalangan pengunjung kelab itu. 
Fahad biarkan Helmi membawa pergi beberapa botol. 
Sudahnya Remy pun angkat bahu. Bukan duit dia. “Pelik betul perangai kau sekarang! Kau ada masalah ke?” 
Konon mereka berdua kawan baik tetapi sejak kebelakangan ini dia langsung tak berikan tumpuan kepada Fahad. Dia terlalu sibuk dengan kerjanya dan kerap benar ke luar daerah sampai tak ada masa untuk ambil tahu apa yang dah terjadi kepada Fahad. 
“Masalah aku satu aje, Remy. Perempuan tu. Adelia.”
“Kenapa dengan dia?”
“Aku fikirkan dalam masa seminggu aku akan berjaya pikat dia, Remy. Tapi, sekarang dah sebulan lebih, yang berjaya aku buat cuma ajak dia pergi makan waktu tengah hari. Itu pun macam nak jadi sejarah aje sebab dah dua minggu aku tak dapat cari dia. Entah ke mana dia hilangkan diri, aku tak tahu.” Fahad meluahkan.
“Apa masalahnya kalau dia hilangkan diri?” 
Fahad jegilkan sepasang mata. “Mana boleh! Aku belum dengar dia mengaku cintakan aku,” bentaknya.
“Kau ni macam-macamlah, Han. Bro, biarkan aje dia. Tak payahlah kau nak meroyan bagai. Cari perempuan lain aje.”
“Aku tak nak perempuan lain. Aku nak dia aje sebab dia tu perempuan pelik. Setiap apa yang dia buat memang di luar jangka, kau tahu tak?”
Remy geleng. “Apa yang pelik sangat tu?”
Fahad meluahkan setiap yang terjadi, terutama reaksi Adelia dalam setiap cubaannya untuk menyakitkan hati gadis itu. “Aku cakap nak pinjam duit dia, dia sibuk bagi nasihat kat aku. Aku marahkan Miza, dia sibuk suruh aku hormatkan orang. Aku bagi syarat berkawan kat dia, dia cakap semua syarat tu dia lebih dulu dah buat. Geram, kau tahu tak. Geram betul aku dibuatnya.”
Buku dah bertemu ruas ke ni? gumam hati Remy. Nak tanya Fahad, tentulah tidak. Tak pasal nanti Fahad marahkan dirinya. 
“Aku tak berjaya buat dia suka aku, Remy. Tu yang buat aku bengang ni.” 
Remy termangu seketika. Namun, lelaki itu kemudian tersengih lebar. “Ini kes ego kau tercalarlah, ya? Kasihannya kau! Ada jugak perempuan yang tak hadap dengan kau yang maco ni, ya?”
Soalan yang menyebabkan Fahad tersentak. Mata terbuka luas. Wajah Remy ditatap tembus hingga ke belakang. “Tak sedap sungguh ayat kau tu, Remy.”
“Kau kecewa ke, Han?”
“Kenapa aku nak kecewa pulak?”
“Sebab buat pertama kali seorang perempuan tak pedulikan kau. Sebab... Adelia tak jatuh cinta pada kau.”
Fahad sentap. Hati tertanya-tanya. Betulkah Adelia tak cintakan dia? Tak pedulikan dia? Tapi, Adelia mahu pula berkawan dengannya. Apakah itu sahaja yang ada antara mereka? Sebuah persahabatan? 
“Tinggalkan dia, Han. Tinggalkan kerja yang kau buat sekarang. Pergi balik ke pejabat Haji Mohd Akil. Aziz cakap, ayah kau asyik tanya kau aje sekarang ni, kau tahu tak?”
Fahad malas nak dengar tentang keluarganya. Fokusnya hanya kepada Adelia. “Aku tak boleh tinggalkan dia dan biarkan dia macam tu saja. Aku mesti jayakan misi aku, Remy. Mana boleh aku biarkan aje perempuan tu! Tak boleh!”
“Balik-balik perempuan tu. Balik-balik Adelia. Kau ni dah kenapa, Han? Dah obses dengan budak debab tu? Atau... Entah-entah kau yang dah jatuh hati dekat dia tak?” 
“Gila kau?” Fahad jerit. Ada ke patut Remy tuduh dia begitu? Tak logik langsung!
“Yang kau nak terasa sangat dengan apa yang perempuan tu kutuk kau, apa ke halnya? Nasihat ayah dengan ibu kau, cakap Aziz semua tu, langsung kau tak peduli pulak. Beria-ia nak balas dendam konon. Kalau kau tanya aku, aku cakap terus terang. Kau tu yang dah lain. Perangai kau yang dah berubah. Kau dah tak minum kecuali bila kau ketagih. Lepas tu, aku dapat berita yang kau...”
Fahad dah kerut dahi. “Aku apa?”
Remy senyum mengejek. “Kau dah tak boleh... Hisy, takkan kau tak faham maksud aku? Perempuan-perempuan yang kau bayar lebih dan kau halau keluar dari bilik hotel tu yang cakap. Kau dah tak nak sentuh dia orang.”
Fahad terdiam. Tak sangka perkara-perkara seperti itu pun dihebohkan orang. Tak boleh langsung dia mahu berahsia. Begitu pun, dia tak boleh nak menafikan. Sememangnya, ada sesuatu yang sudah berubah. Dia menyedari, tetapi tidak menyukainya. 
“Aku pernah dengar dia cakap. Orang yang dah mabuk akan berzina bila diberi perempuan kepadanya.” Fahad ungkapkan kata-kata yang pernah meniti di bibir Adelia setelah agak lama diamkan dirinya. 
“Jadi?”
“Kau ni Remy! Tak nampak ke? Aku tak minum jadi aku tak buat dosa yang lagi satu tu. Faham?”
“Nak jadi baiklah ni? Tulah, bila aku cakap kau dah suka dia, kau geleng. Kau tak mengaku. Tapi, tengoklah keadaan kau sekarang. Tiap apa yang perempuan tu cakap, semua kau ingat. Kalau kau nak tahu, itu juga isyarat yang hati kau...” 
Segera Fahad pintas. “Dah, jangan nak mengarut. Ini hati aku dan aku lebih tahu apa yang aku rasa. Kau ingat senang-senang aku nak jatuh cinta lagi? Remy, Rina dah cincang lumat hati aku ni bila dia curang dan tak jujur dengan aku dulu. Aku dah cukup kecewa bila cinta ikhlas aku dimain-mainkan. Selagi aku ingat, selagi itu aku marah. Aku tak ada masa nak bercinta dan aku tak ada masa nak biarkan hati aku ni main lagu cinta. Faham?”
Nirina yang mata duitan menjadikan dirinya begini. Ibunya yang kejam juga dah membekukan hati dia kepada perempuan. Jadi apa hal pula Remy pandai-pandai tuduh dia dah sukakan Adelia?
“Kau tak nak mengaku, aku tak kisah. Tapi, tanya hati kau, kenapa kau asyik teringatkan dia.” Bagi Remy, Fahad boleh saja menafikan perasaannya. Sekali atau berkali-kali, tidak mengapa. Begitu pun, biar masa yang menentukan. Satu waktu, dia akan dengar juga pengakuan Fahad. Dia yakin! 
Dalam diam, wajah Adelia terbayang. Bersama senyumnya. Fahad menggeleng dengan harapan Adelia pergi daripada ingatannya. “Aku yakin dengan apa yang aku rasa.”
“Baguslah kalau macam tu.”
“Tak payahlah kau nak sindir-sindir aku, Remy.”
Remy ketawa. “Kalau betul, kenapa kau asyik teragak-agak? Kenapa susah sangat kau nak buat yang serupa macam apa kau dah buat pada perempuan-perempuan lain? Kenapa susah sangat kau nak jadikan dia mangsa kau?”
Fahad bungkam. Geram dengan diri sendiri yang gagal melaksanakan misi. 
“Aku dah tak tahan dengan semua soalan kau ni. Aku nak baliklah.” Fahad dah merajuk. Namun, kata-katanya disambut gelak besar Remy. 

“Pergilah balik. Sambil nak tidur nanti kau cari akal macam mana nak putuskan hubungan dengan Adelia, tau! Lagi cepat putus, lagi baik untuk hati kau tu.” Remy mengusik lagi. Puas hati melihat wajah cemberut Fahad.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »