Per: Jawatan Isteri - Bab 9



 ADELIA bersendirian lagi. Tidak ada sesiapa di dalam pejabat kecuali dia. Kawan-kawan pejabatnya semua sudah pergi makan tengah hari. Fahad pula kembali menyepi, hilang tanpa berita. 

Dia berjalan keluar dari pantri perlahan-lahan. Dia dah kenyang. Bekal yang dibawa sudah habis dimakan. Oleh sebab Allah beri dia cuti, dia tak perlu ke surau. Jadi, dia mahu gunakan masa setengah jam yang berbaki untuk menyiapkan kerja yang diberi oleh majikannya tadi. 

Dia baru hendak duduk ketika seorang gadis cantik sampai di ruang pejabat itu. “Cari siapa, ya?”

“Adelia. You kenal Adelia?” Perempuan itu bertanya sambil mendekati meja kerja Adelia. 

“Kenal jugalah. Kenapa cari dia, ya?” Hati Adelia meronta ingin tahu. 

Begitu pun, dia sengaja tidak mengaku. Bimbang juga kalau perempuan ini datang dengan niat yang tidak baik. Hidup di zaman sekarang, memang dia wajib berhati-hati. Karang tak fasal-fasal muka dia kena simbah dengan asid, siapa nak bayar kos untuk buat pembedahan plastik? 

Ayah? Orang tua tu manalah ada duit. Fahad? Hah, jangan-jangan nanti lelaki itu terus tak mengaku yang mereka saling kenal pun! 

Perempuan yang tidak Adelia kenali itu terus menarik kerusi dan menghempas punggungnya untuk duduk. “Adelia tu orangnya macam mana?” 

“Cantik dan baik.” Bukan hendak memuji diri, tapi dia tahulah diri dia macam mana, kan? “Mengada-ada? Gedik?”

Aik, ini sudah lebih! Tak pasal-pasal duk kutuk aku ni apa hal? Muka dah kelat akibat rasa marah yang mula datang.

“Kenapa kutuk dia macam tu?” Adelia jawab dengan soalan.

“You tak jawab soalan I lagi. Tapi tak apa. You tak cakap pun I dah tahu jawapannya. Dah tentulah dia tu gedik, kan? Kalau tidak, dia tak akan rampas kekasih orang, kan?” 

Buntang pula sepasang mata. Sejak bila aku jadi perampas ni? Hati membentak, namun dipujuk agar terus bersabar. Banyak yang ingin dikoreknya lagi. “Adelia rampas kekasih siapa? Kekasih awak ke?” 

“You kenal Fahad tak? Fahad tu kekasih I dan Adelia rampas dia daripada I. Sebab itu I datang sini. I nak tengok rupa orang yang berani sangat merampas Fahad I tu.”

“Tapi, macam mana awak tahu Adelia kerja kat sini?” 

“Fahad yang bagi tahu I. Dia yang suruh I cari perempuan tu. Dia cakap, kalau I berani bersemuka dengan perempuan tu dia akan balik kepada I.”

“Dia cakap macam tu?” 

Perempuan itu mengangguk. Laju.

Adelia tatap wajah di hadapannya. “Siapa nama awak?”

“Sara.”

“Jadi Sara, awak datang ni sebab nak semuka dengan Adelialah, ya?”

Sara mengangguk, menyebabkan Adelia ketap gigi rapat-rapat. Sakit hati tak tahu nak cakap. Senang betul cara lelaki itu selesaikan masalah. Fahad, Fahad! Dia yang nak tinggalkan perempuan ni, aku pula yang jadi mangsa. Sanggup dia jual nama aku untuk melepaskan diri? Cakap aje yang dia harap aku belasah perempuan ni. Memang itu yang dia nak aku buat, kan?

Tumpuan dikembalikan kepada Sara. Misi counter attack bermula sekarang. 

“Saya hairan betul dengan perempuan-perempuan cantik macam awak ni. Kenapalah awak boleh sukakan si Fahad tu?” Adelia bertanya bersama sekuntum senyuman mengejek.

Sara lemparkan pandangan tajam ke arahnya. Macam nak menelan pun ada. “I tak hairan kalau dia tak pandang you. Perempuan gemuk macam you tentulah tak menepati selera dia, kan?” 

What? Eh, perempuan, kau tahu tak dengan siapa kau tengah bercakap ni? Hatinya bertanya. 

“Carikan Adelia. I dah tak sabar nak ganyang dia.”

Adelia senyum segaris. “Awak nak ganyang dia? Jangan yakin sangat. Saya takut dia yang ganyang awak nanti. Awak sanggup hilang gigi? Sanggup patah tangan? Atau awak sanggup masuk hospital dalam keadaan nyawa-nyawa ikan? Sanggup?” 

Dia lantas berpeluk tubuh. Niat di hati, dia nak lanyak saja perempuan kurang ajar di hadapannya ini. Datang tak dijemput lepas itu ada hati nak jadi samseng. Bagi Adelia, kalau setakat satu lawan satu dengan perempuan ni, hmm... kacang! Memang akan dikerjakannya cukup-cukup nanti. 

“Kenapa you bela sangat si Adelia tu?”

“Sebab dia kawan saya. Saya rasa, saya boleh tolong dia ganyang awak.”

Wajah Sara cuak. Turun naik anak matanya memerhati Adelia. Mungkin dia sedang bayangkan dirinya kena pukul dengan gadis itu. 

Adelia ambil peluang itu untuk meracuni fikiran Sara lagi. “Awak, dengar ni ya. Sebenarnya, lebih baik awak biarkan aje Fahad tu dengan Adelia. Dia orang memang sepadan.”

Sara dah panas hati. Tangan siap nak hempuk meja, namun Adelia segera menahan. 

“Dengar dulu!” perintahnya. 

“What?”

“Awak tahu tak yang Fahad tu kerja biasa-biasa aje?”

“Hah?”

Kan dah terkejut tu. Adelia tersenyum dalam hati. Habislah awak, Fahad. “Haih, kata pakwe? Takkan awak tak tahu yang dia tu kerja budak pejabat aje?”

“Betul ke? Kita ni tengah bercakap tentang Fahad I ke?” Sara masih keliru. 

Yalah, Fahad yang dia kenal amat bergaya orangnya. Tak pernah sekali pada setiap pertemuan mereka, Fahad tidak kelihatan kemas. Sentiasa berkot dengan tali leher serta kasut kulit berjenama. 

“Dia memang suka bergaya. Baju, kasut, minyak wangi dia semua barang berjenama. Tapi...”

“Tapi apa?”

“Semua tu bukan dia yang beli.”

“Really?”

“Adelia yang beli. Adelia tu CEO dekat syarikat yang Fahad kerja.”

Sara terjelepok di kerusi. 

Adelia senyum puas. Jeratnya sudah mengena. “Dia tinggalkan awak sebab Adelia ajak dia kahwin. Awak tak tahu ke?” 

“Hah?” Hah lagi tu! 

“Bila bos ajak kahwin, siapa yang mampu tolak, kan? Lagipun, selama ni Adelia yang tanggung si Fahad tu. Apa aje yang Fahad nak, dia bagi. Bukan dia tak tahu yang Fahad tu kaki perempuan. Tapi biasalah kan, perempuan? Kalau dah cinta, buta mata hati.”

“Betul ke apa yang you cerita ni?”

“Semua orang kat pejabat ni dah tahu kisah dia orang.”

“I dah kena tipulah ni?”

“Sara, kalau awak tu Adelia, awak sanggup ke tengok ‘anak ikan’ awak duk mengurat perempuan lain?”

Sara geleng. 

“Saya rasa, mungkin Adelia dah tak tahan dengan perangai Fahad. Mungkin dia orang kelahi dan Adelia ugut nak rampas balik semua yang dia dah bagi kepada Fahad. Tu yang Fahad takut dan tak tahulah apa dia dah buat sampai cik CEO terus ajak kahwin. Betul tak, awak?” Adelia tahu yang Sara sudah terpedaya. Tengok pada air wajah yang sedih dan kelat itu pun dia dapat agak yang kata-katanya sedang merasuk perempuan ini. 

Hmm, rasa puas hatinya dapat membalas dendam begini. Rasakan Fahad! Lain kali guna lagi nama aku, ya. Ini Adelialah! Tak siapa boleh gunakan nama Adelia sewenang-wenangnya. 



PUKUL 5.30 petang. Adelia sedang berdiri di hadapan pejabat. Semuanya sebab ada orang bersuara garang menyuruh dia menunggu di sini sewaktu menelefonnya tadi. 

“You tunggu I. Nanti I datang jemput.” 

“Kenapa nak tunggu awak pulak?”

“Shut up, Adel. Just wait for me!” Tegas arahan itu dilemparkan Fahad kepadanya. 

Adelia cebik pada telefon yang sudah pun diam. Dalam hati dia tahu Fahad sedang marahkan dia. Tentu disebabkan peristiwa tadi. Mungkin Sara dah sembur Fahad jadi lelaki itu nak balas dendam kepada dia. Tapi tak apa. Adelia sudah pastikan diri bersiap sedia untuk membuat serangan balas. 

Terjongket kening Adelia tatkala melihat Fahad sampai dan mengambilnya menaiki sebuah kereta Audi TT berwarna hitam. Selama ini lelaki itu hanya memandu sebuah kereta Satria Neo. Kereta siapa pulak ni? 

“Tak lain kereta pinjamlah tu.” Mulut mengomel. 

“Tunggu apa lagi? Masuklah cepat!” Suara Fahad bergema lantang sebaik sahaja cermin kereta diturunkan. 

Belum sempat Adelia nak capai tali keledar, Fahad memecut kereta meninggalkan kawasan bangunan pejabat mereka. Langsung tak toleh kepada Adelia yang dah gosok bahagian belakang kepala akibat terhantuk pada tempat duduk. 

“Hisy! Ganas juga awak bila marah ya?” Adelia yang kesakitan menyindir. 

“Tahu pula you yang I tengah marah ni?” sergah Fahad pula. 

“Takkan tak tahu. Dahlah bawak kereta macam pelesit punya laju. Muka tu pulak macam baru lepas minum cuka. Rahang diketap-ketap. Kalau bukan marah, apa namanya tu? Angry? Dah geng dengan Angry Birds?” Adelia membalas sambil pandang keluar. Malas nak tengok muka Fahad. Buat hati jadi panas balik mengenangi apa yang sudah dibuat lelaki itu kepadanya.

Hati Fahad yang panas tiba-tiba jadi terhibur mendengar Adelia mengomel. Hilang sekejap rasa marah, diganti dengan ketawa halusnya. 

Adelia pusing. Mata terkebil-kebil pandang muka Fahad. “Gelak? Bila saya buat lawak?” 

Semakin galak Fahad gelak. 

Namun, Adelia tak ada hati nak senyum pun. Hatinya masih menggelegak dengan kisah Sara. “Orang tua-tua cakap, kalau banyak sangat gelak sudahnya akan menangis nanti. Kalau awak nak saya tengok awak menangis, teruskanlah gelak awak tu.”

Fahad terdiam. Entah kenapa dia jadi risau. Betulkah dia yang akan menangis nanti? 



Suasana sepi antara mereka sehinggalah masing-masing dah ambil tempat duduk di satu penjuru di dalam Restoran Azwan Maju. Sebaik sahaja salah seorang pekerja di kedai mamak itu sampai bersama sengihan, laju sahaja Adelia memesan makanan kegemarannya. Begitu juga dengan Fahad. 

“Awak sihat ke ni?” Sengaja Adelia menyindir. 

“Kenapa you bohongkan Sara?” Soalan Adelia terabai begitu sahaja.

“Bohong? Bila masa?” 

“Sampai hati you, Adel. Macam-macam you temberangkan si Sara tu, kan?” 

Adelia tayang muka selamba. 

“Tahu tak, Sara call I dan tuduh I macam-macam.” Fahad meluahkan. 

“Ya ke? Apa dia kata?” 

“Dia kata I ni penipu. Dia gelarkan I lelaki pisau cukur. Anak ikan seorang CEO bernama Adelia. Logik ke tu?” 

Adelia dah gelak. “Pisau cukur? Anak ikan? Wah, tahniah! Tak sangka awak dapat gelaran tu, Fahad.”

“Jangan nak gelak sangatlah. Tak lucu, okey!”

“Marah betul Sara dengan awak ya?” 

“You punya pasallah. Bila I tanya dari mana dia dapat cerita karut tu...” Fahad sengaja berhenti. Tahu Adelia menanti ayat seterusnya dengan penuh minat. 

“Mesti dia kutuk saya, kan?” tanya Adelia yang dah mula geram. 

“Dia kata, ada perempuan gemuk bocorkan rahsia tu kepada dia. Siapa lagi perempuan gemuk yang kenal I kalau bukan you?”

Adelia tergamam mendengar suara Fahad yang melengking kuat. Semakin tergamam apabila semua orang sedang tengok mereka bercakaran. Dia malu apabila ada yang dah mula tersenyum sinis kepadanya. 

“Tak boleh ke awak perlahankan sikit suara awak tu? Sengaja nak bagi semua orang dengar ya?” Adelia tak sembunyi rasa kecil hati. 

“Suka hati I lah. Itu kenyataan apa.”

Nak menangis atau bertahan? Adelia pilih yang kedua. Biarpun berkecil hati kerana mendengar buat pertama kali mulut Fahad sebut dia gemuk, dia tetap tayang muka selamba. 

“Semua ni salah awak. Siapa suruh awak cakap saya rampas awak daripada dia?” ujarnya perlahan. 

“Yang you nak naik angin apasal?”

“Saya tak suka tuduhan dia. Konon saya dah rampas kekasih dia. Kekasihlah sangat, kan?” 

“Kut ia pun, perlu ke nak busukkan nama I sampai begitu sekali? You cakap I anak ikanlah, anak biawaklah. Weh, seumur hidup I, I tak pernah hadap duit perempuan, tahu!”

Adelia tarik nafas panjang. Wajah Fahad ditatap penuh geram. “Kalau nak putus cinta ke apa, gunalah cara lain. Jangan gunakan saya. Saya tak suka.”

“I memang tahu you suka I, Adel. Jangan nak nafikan, boleh?”

Terkulat-kulat wajah Adelia mendengar Fahad berkata begitu. Suara sinis itu mengejutkannya. Hati mula berdebar-debar. 

“Kenapa diam? Mengaku ajelah yang you dah jatuh cinta kepada I. Kalau tidak you tak akan jauhkan diri you. Tanya diri you kenapa selama dua minggu ni you mengelak daripada berjumpa I. Kenapa you tak jawab bila I telefon. Tak balas mesej-mesej yang I hantar. Kenapa?”

“Sebab saya patuh pada syarat-syarat yang awak bagi. Hei, kenapa ni? Tak baik tuduh saya yang bukan-bukan.” Adelia tetap menafikan meskipun hati benar-benar risau berdepan dengan Fahad begini. Fahad yang sedang mencungkil rahsia hatinya. 

“I tak faham betullah dengan you ni, Adel. Kenapa you tak mengaku yang you tu Adelia? You malu dengan diri sendiri ke?” Fahad sengaja berpatah balik pada persoalan asal. Tentang Sara. 

Adelia berasa sedikit lega. Laju dia memberitahu. “Kalau Sara tahu saya Adelia, dia mesti gelakkan awak. Mesti dia kata awak lelaki bodoh sebab tinggalkan dia untuk perempuan macam saya. Saya kasihankan awak.”

Fahad naik angin semula. “Lantaklah dia nak kata I bodoh ke apa. Biarkanlah. Bukannya kita betul-betul bercinta pun.”

“Tapi, saya tak boleh. Saya tak sanggup...”

“Tak sanggup apa?” pintas Fahad.

Adelia terdiam. Apa yang dia dah cakap ni? Nak bongkar rahsia hati depan Fahad? Tak malu ke? Atau dia dah bersedia untuk dimalukan?

Fahad tak habis lagi. Angin dah naik memang sukar hendak dikawal. “Yang dia nak gelakkan tu, I. Bukan you. Yang dia nak kata bodoh tu pun I. Bukan you. Kenapa pula you nak kasihankan I, Adel? Kenapa?” 

Adelia tergamam. Sepasang mata ditikam oleh anak mata Fahad. Saling memandang kini. Panahan yang mendebarkan. Yang menggetarkan. Yang bikin Adelia jadi gementar. Yang membuat perasaannya jadi kecamuk. Hilangnya menyakitkan. Hadirnya merimaskan. Menggoncang dada tanpa bicara. Dan dia mula mengerti bahawa perasaan yang semakin ditepis ini semakin menghimpitnya. 

Besarnya kuasa Allah. Hati mampu berkata-kata. Meluahkan segala rasa. Malah, mampu juga menyimpan tanpa bicara. Sungguh dia tak pernah minta perasaan ini hadir lagi. Dia pernah tersakiti. Pernah merasai penderitaan kerana rasa ini. Namun, kenapa dia menemuinya lagi? Dengan Fahad pula tu? 

Fahad tarik nafas panjang. Hati diburu kesalan. Namun, resah ini menggusarkan. Tak pernah dia berharap hati yang pernah dilukai berkocak kembali. Yang lebih penting dia tidak mahu membenarkan rasa itu hadir semula. Kekecewaan yang dirasai masih belum pudar. Dan tak mungkin akan dilupakan kesakitan dulu. 

“Jangan jatuh cinta dengan I, Adelia.” Pesanan dihantar dengan wajah yang sengaja dimasamkan. 

“Kenapa?” Enggan bertanya sebenarnya, namun Adelia teringin sangat mendengar alasan Fahad. Kenapa berkata begitu?

“I tak boleh terima you.”

Hati bagai dihiris. Wajah tampan itu ditatapi. Namun, dia perlu tahu. “Alasannya apa?” 

Fahad sedar, inilah masa untuk dia melukakan. Masa untuk dia menang. Masa yang ditunggu-tunggu selama ini. Dia harus melakukan demi dendam yang terpendam dalam hati.

“Memang pada mata kasar nampak macam I tak kisah berkawan dengan you, Adelia. Tapi sebenarnya, I malu bila orang usik-usik kita. I tak suka disindir-sindir tiap kali disapa oleh kawan-kawan pejabat I.”

Adelia keraskan hati. Tak mahu menangis biarpun dia sudah lebih daripada faham apa yang mahu disampaikan oleh Fahad. 

“Adel, I bukan Yusri KRU yang boleh terima Erra Fazira yang gemuk dalam cerita Cinta Kolesterol. Maaflah. I mengaku, I hipokrit selama ini. Tapi, I lelaki biasa. Lelaki normal yang memang sukakan benda cantik. Dengan keadaan you yang macam ni, you tak cantik di mata I.” 

Geramnya Adelia. Terasa hendak saja dihentak-hentak lelaki di hadapannya ini dengan badan dia. Biar Fahad tahu yang badan besarnya ini berguna juga untuk menyakitkan fizikal lelaki itu. 

Akhirnya Fahad mengaku juga. Bahawa Fahad sama saja dengan lelaki lain. Selama ini tak pernah langsung ditunjukkan, tapi sekarang baru ditonjolkan sikap itu. Talam bermuka-muka. Di depan bukan main baik, tapi di belakang? Agaknya dah puas Fahad gelakkan dia.

“Tak sangka awak juga sama macam lelaki lain. Masa mula-mula dulu lain yang awak cakap. Sekarang baru awak nak tunjuk diri sebenar awak kepada saya. Terima kasih, Fahad. Saya dah faham. Sangat faham dan sangat kenal dengan awak.” Adelia luah rasa kesal yang banyak dalam dadanya.

“Mulai hari ini I tak nak jumpa you lagi.” 

Kata orang, berkerat rotan berpatah arang. Kalau tali persahabatan mereka sampai di sini sahaja, dia juga ingin katakan sesuatu kepada Fahad. Biar bisa itu terasa hingga ke tulang hitam. Barulah lelaki di hadapannya ini tahu siapa Adelia. 

“Jadi, kita tamatkan hubungan kita di sini saja, ya. Tak payah awak nak pura-pura lagi. Betul tak, Fahad?” 

“Itu ke yang you nak?”

“Kenapa tanya macam tu pula? Bukan tadi awak cakap awak tak nak jumpa saya lagi? Tak sangka, rupa-rupanya segala syarat yang awak bagi, semua tu untuk jauhkan saya daripada awak. Akhirnya, saya dah tahu awak tak ikhlas dengan saya. Saya dah dengar awak cakap awak malu bila orang nampak kita berdua. Lain kali, kalau tak suka cakap terus terang. Jangan guna Sara untuk beritahu saya. Awak hantar dia untuk sakitkan hati saya dan awak dah berjaya. Tahniah.”

Kenapa hatinya sedih mendengar kata-kata Adelia? Bukankah sepatutnya dia gembira sekarang? Dia sudah berjaya memalukan Adelia. Dia sudah menang. Apa lagi yang tak kena? Fahad terperangkap dalam rancangan yang dibuat sendiri. Dia yang ingin menjerat malangnya dia yang terjerat. 

Hari ini baru dia sedar yang dia tak sepatutnya buat semua ini dari mula lagi. Dia patut biarkan saja Adelia. Dia patut abaikan semua yang dia dengar dulu. Datang ke tempat kerja gadis itu dan memulakan persahabatan mereka... Sesuatu yang sepatutnya tidak dia lakukan. 

Adelia sudah lama pergi namun Fahad terpaku sendiri. Dia tahu dia telah melukakan. Yang sadisnya, dirinya sendiri turut terluka. Dia sepatutnya bahagia dengan apa yang sedang berlaku ini. Dia yang merancang agar gadis itu sukakan dirinya. Dia yang merancang agar dia berjaya permainkan hati Adelia. 

Namun, kenapa dia tak ingin raikan kejayaan ini? Kenapa tak berasa seperti orang menang pun? Kenapa? 




Ketika Fahad berdiri, tiba-tiba sahaja telefonnya berbunyi. Segera dijawab panggilan daripada Aziz. “Apa? Ya, baik! Aku ke sana sekarang!”

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »